PEMILIHAN PAS!!! Siti Zailah impikan muslimat yang berani


KUALA LUMPUR: Siti Zailah Mohd Yusoff yang mempertahankan jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) bersedia memantapkan kepimpinan DMPP dalam menghadapi suasana politik yang semakin mencabar.

Beliau berkata, kepimpinan yang mantap dari sudut jasmani dan rohani amat perlu untuk mendepani isu-isu semasa khususnya melibatkan wanita.

Di samping berazam meneruskan misi dan visi sebelum ini, Siti Zailah juga mahu melihat saf kepimpinan muslimat lebih maju dan berani mendepani segala cabaran.

"Saya akan teruskan dasar muslimat yang sedia ada dan saya melihat dalam suasana politik hari ini perlunya kepimpinan muslimat yang mantap.

"Dalam kita menerajui sebuah organisasi kita perlu kepimpinan yang mantap yang boleh menggerunkan musuh.

"Sebab itu saya harapkan dalam pemilihan kali ini perwakilan memilih saf kepimpinan yang boleh memacu dewan muslimat untuk terus maju, bukan semakin berundur," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu juga berkata, DMPP perlu meyakinkan masyarakat bahawa suara muslimat amat penting bukan sahaja di peringkat penggubal dasar malah di peringkat akar umbi.

"Kita memerlukan suara muslimat untuk bersuara di semua peringkat sama ada di peringkat penggubal dasar negara sama ada di Parlimen atau Dun.

"Kita lihat semakin hari semakin menampakkan suara muslimat boleh diterima dalam masyarakat buktinya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 majoriti muslimat semakin bertambah dan membuktikan keyakinan masyarakat bahawa muslimat boleh menyaingi Wanita Umno," katanya.

Sementara itu, beliau berjanji tidak akan mensia-siakan kepercayaan ahli parti terhadapnya sekiranya terpilih sebagai Ketua DMPP.

"Dalam kita meletakkan pertandingan apa-apa jawatan bukan untuk mencari nama atau kedudukan tapi kita berkhidmat untuk jemaah, untuk berebut pahala dan untuk sama-sama menyumbang bakti untuk perjuangan Islam," katanya.

Seorang lagi calon yang bertanding Ketua DMPP ialah Ustazah Nuridah Salleh.

No comments:

Post a Comment