Peringatan jangan burukkan calon lain 
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Pemilihan Pas memberi amaran kepada pihak yang terlibat dengan pemilihan parti termasuk lajnah di peringkat negeri supaya tidak menganjurkan sebarang majlis yang bersifat memburuk-burukkan calon bertanding.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Asmuni Awi berkata, pihaknya telah menerima aduan ada pihak yang telah mengadakan majlis keraian dan pada masa sama ditukarkan kepada mempromosi seseorang selain menjatuhkan calon yang lain.

"Perkara ini sudah berlaku, saya terima aduan, dan saya beri peringatan supaya tidak mengulanginya.

"Kita telah mengeluarkan garis panduan, berdasarkan kaedah enam tatacara pemilihan baru-baru ini dan saya tegaskan semua calon, ahli, penyokong dan lajnah negeri, atas nama apa sekalipun supaya mematuhi aturan ini," katanya dalam sidang media, semalam.

Beliau berkata, pihaknya sedang memantau dan meneliti penganjur majlis yang terbabit berhubung aduan yang diterimanya.

Asmuni menjelaskan sekiranya terdapat pihak yang tersinggung dengan dakwaan yang dibuat ke atas diri seseorang calon maka individu tersebut boleh membuat aduan kepada jawatankuasa Pas Pusat atau jawatankuasa disiplin parti.

Selain itu, Asmuni berkata, antara tindakan disiplin yang bakal diterima adalah kemungkinan kemenangan calon itu akan dibatalkan.

"Kalau tindakan itu dilihat memburukkan parti, Pas pusat berhak untuk mengenakan tindakan tanpa merujuk kepada jawatankuasa disiplin parti," katanya.SH