PEMILIHAN PAS!!! Ahmad Zamri mahu tarik profesional muda kukuh Pemuda PAS

KUALA LUMPUR: Menarik serta menggembleng lebih ramai tenaga muda profesional daripada pelbagai latar belakang bersama menjiwai perjuangan murni PAS menjadi salah satu agenda utama Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi (gambar) sekiranya dipilih sebagai Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia dalam Muktamar PAS nanti.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) berkata, buah fikiran dan tenaga mereka ini amat diperlukan dalam Dewan Pemuda PAS berdasarkan kepada kepakaran dan kebolehan masing-masing.

"Selalu kita dengar mereka yang profesional ini cenderung kepada PKR dan DAP, dan kali ini kita akan pecahkan dan cuba tarik lebih ramai golongan muda berprofesional untuk memperkuatkan lagi Pemuda PAS," tambahnya.

Namun katanya, perkara paling penting adalah memasyarakatkan Pemuda PAS dengan isu-isu dan permasalahan yang  membelenggu rakyat.


Katanya,  Pemuda PAS perlu sentiasa cakna dan ke depan untuk membela rakyat dan merasai denyut nadi rakyat di pelbagai peringkat dan golongan.

"Tidak harus ada sikap eksklusif tetapi  perlu sentiasa bersikap responsif dengan persekitaran semasa," katanya kepada Harakahdaily.

Zamri juga bercita-cita mahu menjadikan Pemuda PAS sentiasa relevan dengan persekitaran anak muda yakni mereka harus bersikap terbuka dan meraikan kepelbagaian sikap dan perbezaan pendapat dengan hujah dan pendekatan yang matang serta bersifat kontemporari.

"Pengundi berusia 21 hingga 30 tahun inilah yang perlu ditarik oleh kita untuk bersama-sama PAS dan Pakatan Rakyat. Sedangkan kita tawarkan banyak termasuk isu PTPTN dan harga kereta tetapi undi mereka kepada PAS hanya sedikit.

"Inilah yang perlu kita kaji mendalam. Pemuda PAS kena bekerjasama dan cakna bukannya membuat program 'ad-hoc' semata-mata," tegasnya.

Zamri juga mengakui bahawa jati diri anak muda harus diperkukuhkan dengan tarbiyyah dan menanam rasa cintakan negara serta semangat  patriotisme yang tinggi kerana merekalah yang akan mewarisi kepimpinan negara ini kelak.

"Tidak boleh hanya tarik golongan profesional semata-mata tetapi kesemua ini perlu diadun jalin. Pengukuhan jati diri dengan ajaran Islam dan tarbiyyah mendalam adalah senjata yang paling utuh untuk sebuah perjuangan Islam," katanya.

Justeru katanya, agenda-agenda tersebut perlu dilaksanakan oleh Pemuda PAS dan percaya ianya akan menjadi pilihan pertama khususnya untuk anak-anak muda Melayu.

Pada pemilihan PAS kali ini, Zamri buat pertama kalinya bertanding di peringkat tinggi Pemuda PAS Malaysia bagi jawatan Naib Ketua.

Dalam pemilihan kali ini, selain Zamri, Ir. Mohd Khairul Nizam Khairuddin turut bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda.

No comments:

Post a Comment