Mohd Zawawi Abu Hassan - ADUN Gunung Semanggol
IPOH, 3 Nov : Pemilihan tiga jawatan utama Pemuda PAS Perak berlangsung sengit apabila penyandang kerusi ketua dan timbalan kalah tipis sebanyak tujuh undi dalam persaingan satu lawan satu pada Muktamar Tahunan Pemuda ke 30, di sini.
Pemilihan membabitkan 201 perwakilan dari 24 kawasan itu menyaksikan penyandang Ketua Pemuda, Mohd Zawawi Abu Hassan tewas kepada timbalannya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss apabila hanya memperolehi 97 undi berbanding Raja Ahmad (104).
Zawawi yang juga ADUN Gunung Semanggol kelihatan tenang sebaik keputusan diumumkan apabila dengan spontan bangun untuk memberi laluan Raja Ahmad duduk di kerusi Ketua Pemuda yang dikhaskan di dewan pemilihan berkenaan.
Situasi yang sama berlaku dalam perebutan kerusi timbalan apabila Ketua Penerangan sayap PAS itu menang, juga dengan perbezaan tujuh undi mengatasi Salman Saleh yang memperolehi 97 undi.
Ternyata kekalahan Mohd Akmal di DUN Selama pada PRU 13 lalu, bukan ukuran untuk meraih kepercayaan perwakilan mengatasi Salman yang aktif sebagai Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak dengan pelbagai isu melibatkan kerajaan negeri dan BN.
Berbeza dengan jawatan Naib Ketua apabila Mohd Khairie Jamaluddin membuktikan khidmatnya masih diperlukan.
Mohd Khairie yang memegang jawatan sama sejak 2011 menang selesa dengan 108 undi mengalahkan pencabar, Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS , Nazri Din yang memperoleh 93 undi.
Semua pengumuman dibuat Setiausaha PAS Perak, Muhaimin Sulam selepas sesi pembuangan undi kira-kira jam 2 petang, tiada kertas undi rosak direkodkan.
Muktamar Tahunan Pemuda PAS Perak kali ke 30 yang bertemakan Melestari Ukhuwwah, Mengukuh Jamaah dirasmikan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan.SH
No comments:
Post a Comment