PRU 13!!! 9 kerusi parlimen di Johor bakal jatuh ke tangan Pakatan

Dalam pilihanraya umum akan datang ini, Johor adalah antara negeri yang menjadi tumpuan antara BN dan PR. Sementara BN mengharapkan Johor akan terus kekal sebagai kubu kuatnya, PR pula mensasarkanu untuk merampas beberapa kerusi di negeri itu.

Dalam pilihanraya 2008 lalu, Johor adalah antara negeri yang menyumbang banyak kerusi kepada BN, selain Sabah dan Sarawak. 


Dengan hanya kekurangan 30 kerusi berbanding BN dalam pilihanraya lalu, PR kini sedang melipatgandakan usaha merobek sebanyak mungkin kerusi di ketiga-tiga negeri itu bagi membolehkannya menawan Putrajaya.


Sabah dan Sarawak memang diketahui gelora politiknya. Masalah dalaman di kedua-dua negeri itu hampir pasti memberi harapan cerah kepada berlakunya angin perubahan.

Cuma yang agak kurang kedengaran geloranya ialah Johor. Selama ini ia terkenal dengan kubu kuat UMNO dan BN sehingga menjadi ungkapan popular bahawa songkok pun jika bertanding atas tiket BN pasti akan memperolehi kemenangan.

Tetapi selepas tsunami politik 2008, Johor pun terkena tempiasnya. Walaupun dalam pilihanraya 2008, Johor masih menyumbang banyak kerusi kepada BN, senario menjelang pilihanraya ke 13 ini seperti menampakkan suasana yang berbeza.

Selain faktor perubahan yang mula meresap dalam sanubari setiap rakyat sekarang ini, faktor pengundi Cina yang selama ini menjadi penentu kepada kekuatan BN di Johor juga tidak lagi memihak kepada BN. 


Sementara pengundi Melayu Johor turut kelihatan mahu berubah dengan ketara melalui beberapa program Pakatan Rakyat yang mendapat sambutan hangat, kedudukan pengundi Cina pula tetap menampakkan angin perubahan yang konsisten sebagaimana yang berlaku di negeri-negeri lain juga.

Seorang pemimpin UMNO Johor memberitahu, sambutan dengan kehadiran ribuan rakyat dalam beberapa demo seperti protes mengenai tanah dan Himpunan Hijau yang menyaksikan kehadiran ribuan orang adalah isyarat jelas bahawa benteng kekuatan UMNO Johor bakal runtuh kali ini.

Di Johor katanya, jika pembangkang dapat mengumpul dua atau tiga ribu orang pun sudah dikira kuat dan mampu menyesakkan nafas UMNO.

Faktor lain yang turut mampu menyumbang kepada kemenangan beberapa kerusi Parlimen di Johor kepada PR ialah kehadiran beberapa tokoh utama mereka yang bakal bertanding di negeri itu. 


Selain Salahuddin Ayub daripada PAs dan Chua Jui Meng daripada PKR yang bakal mengetuai kekuatan PR untuk menggempur Johor, tokoh veteran DAP Lim Kit Sianf juga dikhabarkan bakal bertanding di salah satu kerusi Parlimen di negeri itu.

Kehadiran tokoh-tokoh besar ini dan mungkin disertai beberapa tokoh lain yang dikenali ramai yang akan mewakili PR, tidak dapat dinafikan bahawa UMNO dan BN tidak boleh lagi berada dalam zon selesa dalam pilihanraya akan datang ini.

Seorang lagi pemimpin UMNO Johor membayangkan bahawa sekurang-kurangnya 9 kerusi Parlimen yang selama ini dikuasai oleh BN akan jatuh ke tangan PR dalam pilihanraya pilihanraya nanti berikutan arus perubahan yang melanda sekarang ini.

Sambil menyebutkan nama kerusi-kerusi yang bakal tumbang dan berada dalam keadaan kritikal itu, beliau juga menghuraikan bahawa faktor perubahan di kawasan-kawasan terbabit bukan melanda di kalangan pengundi bukan Melayi tetapi juga di kalangan pengundi Melayu sendiri.

Sementara faktor perubahan di kalangan pengundi Cina dan bukan Melayu sudah difahami asasnya, faktor perubahan di kalangan pengundi Melayu pula disebabkan beberapa faktor domestik, yang antaranya ialah kecewa dengan pimpinan UMNO negeri mentadbir negeri itu.

Apa yang berlaku di Pasir Gudang di mana beberapa Ketua UMNO Cawangan menutup bilik gerakan pilihanraya kerana kecewa dengan Menteri Besar, Ghani Othman yang gagal menunaikan janji berhubung pemilikan tanah adalah masalah yang bakal membawa beban kali ini. 


Asasnya kerana masalah pemilikan tanah itu bukan saja berlaku di Pasir Gudang, malah di banyak bahagian lain di negeri itu.

Ada pemimpin UMNO Johor yang melihat masalah itu bakal menjadi isu yang melarat-larat jika gagal ditangani dengan sebaiknya.

Sehingga ini, Ghani Othman dilihat masih membisu dan tidak mahu menjawab berkenaan perkara itu. Ia sudah tentu sesuatu yang mengecewakan bagi kebanyakan rakyat Johor.

Ini kerana, selain masalah tanah itu, Ghani juga turut dibebankan dengan pelbagai masalah lain sebagai Menteri Besar terutama berkaitan hubungannya yang terlalu memberi keistimewaan kepada seorang tauke Cina yang bernama Lim Kang Ho. 


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Lim Kang Ho dikatakan menguasai majoriti kontrak dan perniagaan yang melibatkan kerajaan negeri itu.

Hubungan Ghani dengan Lim Kang Ho ini bukan saja mejadi percakapan di kalangan rakyat biasa, malah juga di kalangan ahli dan penyokong UMNO sendiri. 


Mereka kelihatan kecewa kerana Ghani terlalu memberi keistimewaan kepada seorang tauke dan seakan melupakan kepentingan rakyatnya sendiri.

Dengan pelbagai faktor yang berlaku di Johor kebelakangan ini dan pemimpin UMNO negeri itu sendiri membayangkan bahawa sekurang-kurangnya 9 kerusi Parlimen BN bakal tumbang dalam pilihanraya akan datang dan tidak banyak usaha yang dilakukan oleh BN untuk memperbaiki keadaan, kedudukan UMNO dan BN Johor sebagai kubu terkuatnya bakal berakhir tidak lama lagi.

Jika Johor gagal dipertahankan sebagai benteng kekuatan UMNO dan BN, usaha melakar perubahan ke seluruh negara bukanlah sesuatu yang mustahil lagi. (SH 06/02/2013)


No comments:

Post a Comment