KUALA LUMPUR: Muktamar dan pemilihan PAS pada November depan dijangka menyaksikan persaingan sengit bagi jawatan ketua pemuda sayap parti itu dengan dua daripada lima calon muka baru mengesahkan akan bertanding kerusi tersebut, menyaksikan penyandang semasa Nasrudin Hassan mengesahkan menarik diri.
Mendahului senarai calon-calon berpotensi untuk menyandang jawatan tersebut ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat dan peguam parti yang juga Penasihat Undang-Undang Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) Zulhazmi Shariff.
Ketika dihubungi Antarapos, kedua-dua pemimpin yang terkenal melalui gerakan dalam PAS mengesahkan diri untuk bertanding bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh.
Sementara tiga lagi calon muka baru yang layak iaitu Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pusat Dr Riduan Mohamad Nor dan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzaman Mohamad masih belum membuat sebarang keputusan.
Menurut Suhaizan yang tewas dalam persaingan jawatan timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Pusat pada pemilihan yang lalu, keputusan bertanding kerusi tertinggi sayap itu adalah untuk melakukan beberapa penambahbaikan dari aspek pengurusan sturuktur semasa.
"Ya, insya-Allah saya akan tanding jawatan ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.
"Jumlahnya (pencalonan diterima) munasabah untuk bertanding ketua pemuda pusat dan konsep saya menerima jawatan ini adalah untuk memperkukuhkan apa yang telah dilaksanakan Nasrudin agar Dewan Pemuda PAS lebih terbilang dengan beberapa lima agenda utama yang akan dibawa.
"Maknanya kita memperkukuhkan apa yang ada sekarang ini di mana kita mahu melakukan beberapa penambahbaikan dalam Pemuda PAS itu sendiri," katanya.
Suhaizan bawa lima agenda perubahan dalam Pemuda PAS
Jelas beliau, melalui beberapa penambahbaikan ia secara tidak langsung akan memperkukuhkan agenda yang telah dilaksanakan Nasrudin sejak memegang jawatan itu pada 2009.
"Yang pertama segi mendepani isu-isu negara dengan lebih berkesan, memang ada usaha-usaha mendepani isu-isu ini tetapi dilihat tidak berkesan.
"Perkara yang kedua dari segi imej (Pemuda PAS) kerana pada hari ini ia sedang dilihat terlalu ekslusif dan kita nak bawa satu mesej bahawa sayap ini inklusif agar dapat didekati oleh masyarakat sebab kita tidak mahu ia dilihat eklusif sehingga menyebabkan masyarakat takut untuk mendekati Pemuda PAS.
"Perkara ketiga ialah mana-mana sayap parti dalam negara berperanan untuk menjadi penggerak kepada parti dan menjadi 'check and balance' yang mana seharusnya Pemuda PAS menjadi 'check and balance' dalam parti," ujar bekas ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat ini.
Semalam Nasrudin mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan jawatanya sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat sebaliknya akan bertanding untuk kerusi ahli jawatankuasa pusat pada pemilihan kali ini.
Keputusan wakil rakyat penggal pertama ini yang turut menolak pencalonan jawatan naib presiden PAS sekaligus membuka ruang serta peluang kepada lima calon muka baru untuk bersaing merebut kerusi tersebut.
Nasrudin yang menyandang jawatan itu sejak 2009 menang tanpa bertanding pada pemilihan barisan kepimpinan sayap tersebut pada dua tahun lalu, memperlihatkan Suhaizan calon paling layak mengisi kekosongan tersebut.
Menang atau kalah tidak penting
Tambah Suhaizan, dua perkara lain yang mahu dibawa dalam sayap tersebut ialah memanfaatkan anggota yang ada agar tidak bergerak di luar daripada parti seterusnya meletakkan pemimpin yang berbakat dalam struktur utama.
"Perkara keempat ialah kita sebenarnya banyak sumber parti tapi tenaga yang ada ini tidak dimatfaatkan sehingga sebahagiannya lebih selesa untuk bersama NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan ada yang bergerak di luar daripada parti..
"...dan yang kelima dari segi memposisikan pemimpin berbakat dalam PAS untuk berada dalam parti seterusnya melaksanakan agenda tarbiyah untuk menyatukan Pemuda PAS seluruh negara," katanya yang terkenal di peringkat nasional dan negeri melalui gerakan-gerakan membela dan menegakkan hak rakyat.
Antara gerakan yang mengangkat nama Suhaizan sebagai pemimpin muda yang lantang dan berkaliber termasuklah Gerakan Rakyat Membantah Judi, Gerakan Mansuh PPSMI(GMP) dan gerakan dalam mereformasikan sistem pilihan raya di mana beliau diberikan peranan sebagai Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Pusat.
Penglibatan serta kemampuan Suhaizan sehingga menggugat keputusan dibuat pentadbiran Barisan Nasional (BN) terutamanya dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2009 yang berjaya mengubah pendirian kerajaan terhadap polisi tersebut.
"Yang penting adalah mesej itu, mesejnya ialah untuk membuat beberapa penambahbaikan dalam Pemuda PAS.
"Menang atau kalah bagi saya tak penting sangat, yang penting mesej itu sampai (kepada ahli)," kata Suhaizan apabila ditanya mengenai peluang untuk memenangi kerusi tersebut pada pemilihan kali ini.
Di peringkat negeri Johor pula, Suhaizan memperjuangkan nasib penduduk kampung setinggan di Johor selain isu pengundi hantu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Bahang pemilihan PAS untuk semua peringkat semakin terasa dengan tarikh akhir penyerahan borang pengesahan bertanding akan tamat pada 8 November ini.
Zulhazmi mahu bawa agenda ‘Merakyatkan Pemuda & Memudakan Rakyat'
Sementara itu, Zulhazmi yang dikenali sebagai 'peguam PAS' dalam mengendalikan dan mewakili parti itu dalam kes saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) berkata konsep yang akan diketengahkan adalah ‘Merakyatkan Pemuda & Memudakan Rakyat'.
Jelas peguam yang lantang dalam memperjuangkan isu AES ini, borang pengesahan bertanding akan diambil dan diserahkan semula kepada Jawatankuasa Pemilihan PAS dalam tempoh terdekat.
"Ya, saya akan bertanding jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS dan esok (hari ini) saya akan ke Pejabat Agung PAS untuk mengambil borang pengesahan bertanding sebab semasa saya ke sana tadi (semalam) pegawai yang menguruskan pemilihan tidak ada," katanya.
Beliau menyatakan hasrat bertanding jawatan ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dibuat dengan tujuan membawa perubahan dalam gerak kerja sayap itu agar dapat bersaingan dengan parti politik lain di Malaysia.
"Merakyatkan Pemuda adalah dengan tekad mengembalikan martabat & aura Pemuda PAS seperti gerakan pemuda suatu ketika dahulu yang menjuarai isu-isu rakyat bersama rakyat.
"...terutamanya semasa dipimpin oleh Datuk Abu Bakar Chik, Mohamad Sabu (Timbalan Presiden) dan (dua Naib Presiden) Datuk Mahfuz Omar serta Salahuddin Ayub dalam mendepani isu-isu rakyat bersama rakyat," katanya.
Pemuda PAS perlu mendepani dan menjuarai isu rakyat
Selain itu jelas Zulhazmi, Pemuda PAS perlu mengambil pendekatan lebih serius dalam mendepani isu-isu semasa terutamanya masalah rakyat.
"Pemuda PAS akan bekerjasama rapat dengan kepimpinan tertinggi parti termasuk gerakan rakyat seperti NGO tidak berparti untuk kepentingan rakyat keseluruhan bukan sekadar kepentingan politik.
"Kita juga mesti bersama rakyat merasai keperitan hidup rakyat dan menjadi pemangkin kehendak seluruh peringkat rakyat terutama golongan muda dari semua sudut sosial, ekonomi, agama dan politik.
"Kebersamaan Pemuda PAS dalam setiap gerakan massa bukan sekadar diungkap tetapi perlu diterjemah dalam tindakan kepada rakyat," katanya menjelaskan agenda yang mahu dibawa.
Menurut Zulhazmi yang telah memulakan kempen melalui laman sosial Facebook, Zulhazmi 4KP, dengan memuatkan beberapa pendekatan berkata pemimpin muda PAS perlu menjadi pelapis kepimpinan dan pemimpin generasi akan datang.
Jelasnya lagi, agenda merakyatkan Pemuda PAS dibuat bagi mendekatkan sayap tersebut bersama gerakan rakyat tanpa mengira latarbelakang politik, agama, bangsa, pendidikan dan sebagainya.
"Dengan tekad membudayakan keterbukaan pemikiran berlandaskan Islam kita perlu membudayakan informasi dan maklumat yang ada.
"Rakyat tidak hanya mengikut tanpa informasi dan maklumat tetapi rakyat perlu berinformasi, bermaklumat dalam memilih dan melakukan sesuatu," katanya lagi.
Justeru tambah Zulhazmi, sewajarnya kepimpin Pemuda PAS semua peringkat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
"Mengurus pelbagai pandangan dan pendapat melalui keterbukaan hujah dan ilmu bagi memperolehi keputusan terbaik perlu untuk Pemuda PAS dan Malaysia.
"Selain itu rakyat perlu diterapkan budaya kritis dan berhujah untuk mencari dan mendapatkan yang terbaik," katanya.
Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS akan berlangsung serentak dengan Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak pada 20 November di Shah Alam, Selangor.
No comments:
Post a Comment