MENJELANG pemilihan pimpinan PAS hujung tahun ini ternyata dua jawatan utama mulai menjadi perhatian umum iaitu Presiden dan Timbalan.
Media baik tradisional dan konvesional khususnya akhbar cetak mahupun media baru iaitu laman sosial mula merenung pemilihan itu sebagai lazim yang masing-masing perhatikan bagi setiap pertandingan baik dalam negeri mahupun luar.
Pertandingan Presiden Amerika Syarikat atau pemilihan pimpinan Parti Konservatif Britain tidak kena mengena dengan kita, tetapi media kita ikut menyuluh perkara itu lama sebelum pemilihan itu.
Tujuannya apa? Ialah untuk menyuluh masa depan negara tersebut dan parti tersebut tentang semua kemungkinannya.
Maka kita wajar mengambl sikap terbuka jika media umum secara terbuka membuat ramalan dan dugaan tentang pemilihan pimpinan PAS itu.
Kebebasan dan demokrasi itu tidak wajar disekat jika ada yang menyebut Ustaz Abdul Hadi Awang mesti dikekalkan sebagai Presiden atau Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden mesti dicabar.
Apa pun Harakah sebagai suara rasmi PAS, tidak punya kebebasan seperti lain media untuk membuat sebarang unjuran kerana ia akhbar parti. Akhbar parti milik semua ahli parti, ia tidak wajar mencadangkan orang itu mesti diganti dan sebagainya.
Parti itu milik semua ahlinya. Maka ia tidak boleh nyatakan satu sikap yang tidak disetujui oleh yang lain. Hal yang tidak disetujui oleh semua biarlah dimainkan oleh orang lain.
Penglibatan media parti dalam hal yang demikian boleh mendorong kecenderungan lobi melobi dan suatu budaya yang tidak menjadi amalan PAS.
Jika sesama ahli PAS dan individu pimpinannya menyatakan pandangan Presiden perlu dikekal atau digantikan dan demikian juga Timbalan Presiden, dengan tidak menggunakan ruang Harakah, sekadar menyatakan pandangannya kepada umum, maka terpulanglah kepada budi bicara dan kebijaksaan masing-masing asal saja ia tidak memaksa dan mempengaruhi ahli lain menerima pandangannya.
Seperti contoh, Mursyidul Am, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat diberitakan berkata, Ustaz Abdul Hadi perlu dikekalkan sebagai Presiden.
Ia adalah satu pandangan umum, boleh jadi nasihat atau sekadar menyatakan pandangan bahawa itu yang terbaik untuk parti.
Jika PAS Kelantan menyokongnya, bahawa itu adalah kerana mereka mempu-nyai pandangan yang sama, tetapi PAS Kelantan tidak dipaksa untuk menerima nasihatnya.
Saya pula sebagai ahli biasa belum ada kuasa untuk mengundi boleh berkata, Ustaz Abdul Hadi boleh dicabar. Mungkin ramai yang bersetuju dengan saya.
Tetapi siapa pula yang sedia mencabarnya?
Mungkin ada yang lebih berupaya atau setanding dengannya, tetapi masa ini kita tidak nampak ada orang dicalon-kan selain daripadanya dan adakah orang yang sedia dicalokan?
Selagi kita tidak nampak calon yang boleh dan sedia diketengahkan, maka tidak berbangkit soal Presiden yang ada digantikan.
Ketika PAS dipimpin oleh Allahyarham Haji Yusof Rawa, kita dapat sekurang-kurang tiga ulama yang dibariskan boleh menggantikannya iaitu Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Abdul Hadi dan Ustaz Nik Abdul Aziz. Keupayaan masing-masing tidak diragui.
Tetapi tidaklah kerana keupayaan mereka lebih, maka Haji Yusof perlu digantikan.
Tetapi kerana kesihatan dan keupayaannya meneruskan agak terbatas, maka ada keperluan menggantikannya. Bahkan beliau sendiri merasa beliau perlu digantikan masa itu, maka beliau merestuai beliau digantikan.
Parti pun tidak pertikai kesediaan Haji Yusof Rawa berundur kerana menahannya daripada berundur, bererti menderanya dan penggantinya pula tidak dipertikai oleh semua.
Dalam suasana pengganti itu tidak jelas, kalaupun ada, belum tentu disepakati oleh semua seperti masa Ustaz Fadzil menggantikan Haji Yusof, maka bercakap bagi menggantikan Ustaz Abdul Hadi bukan suatu yang sesuai.
Saya tidak boleh halang orang mencabarnya, tapi saya tidak menganjur beliau jangan dicabar, tetapi saya rasa kita belum ada calon yang bersedia. Saya tidak suruh orang sokong saya, tetapi kalau ada yang setuju dengan saya itu bukan saya pengaruhi mereka. Mereka sendirilah yang bertindak begitu.
Adapun keadaan Mohamad Sabu berbeza. Pertama calon yang sedarjat dengannya ramai. Jika diajukan dia sedia berundur, maka ramai yang bersedia menawarkan diri jika menawar diri itu suatu budaya yang sihat dan dikira bijak.
Ketika dia terpilih ke jawatannya, tidaklah terserlah sebagai calon yang paling berwibawa. Beberapa tokoh penting dicalonkan untuk mengganti penyandang jawatan yang dirasakan terhad keupayaan pimpinannya tidak berjaya. Bukan keupayaan mereka terhad tetapi mereka calon tidak boleh menang.
Mohamad Sabu adalah yang boleh menang. Saya tidak bercadang mempengaruhi sesiapa mengekalkan beliau atau menggantinya dengan orang lain. Gunakan kebijaksanaan masing- masing apa yang perlu ditentukan.
Saya kira Mohamad Sabu telah menjalankan khidmatnya dengan baik. Tidak apa yang patut ditakwil tentang keupayaannya menjadi Timbalan Presiden selama ini.
Saya rasa itulah jawatan paling tinggi yang sesuai untuknya. Se-perti yang Dr Mahathir Mohamad fikir, bukan semua Timbalan Perdana Menteri di bawahnya layak menggantikannya sebagai Perdana Menteri.
Musa Hitam, Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim layak jadi TPM saja, tidak untuk jadi PM. Hanya TPM seperti Abdullah Ahmad Badawi layak jadi PM. Maka itulah kedudukan yang ramai kira tentang Mat Sabu.
Jika Mat Sabu sekadar jadi Timbalan Presiden selama-lama tidak ada yang akan ada pandangan kedua tentang kedudukannya pada jawatan.
Dia boleh kekal jadi Timbalan Presiden asal Presiden orang lain. Datang Presiden baru, dia Timbalan Presiden juga.
Tetapi sebagai Timbalan Presiden, Mat Sabu tidak semesti kekal sebagai orang nombor dua saja. Dia bila-bila masa jadi orang nombor satu sama ada suka atau tidak suka jika sesuatu berlaku pada Presiden.
Seperti yang terjadi pada Allahyarham Dato’ Asri Muda. Sekalipun masa itu orang PAS tidak bercakap tentang kepimpinan ulama, tetapi PAS sudah mengamalkan konsep kepimpinan ulama. Dua jawatan utama PAS masa itu ulama iaitu Dr Burhanudin al-Hilmy sebagai Presiden dan Prof Zulkifli Muhammad sebagai Timbalan Presiden.
Asri yang bukan ulama duduk di tempat ketiga sebagai Naib Yang Dipertua Agung. Belum tentu parti mudah terima beliau se-bagai Presiden jika dia pertanding jawatan itu sebelum dia menjadi pemangku Presiden.
Kerana kedua-dua pimpinan ulama di atasnya ditakdirkan mati semasa memegang jawatan, maka orang yang ketika memangku jawatan nombor satu. Dalam masyarakat yang ada sopan santun, sukarlah mereka menghalang pemangku Presiden daripada menjadi Presiden. Apabila Asri jadi Presiden, berlaku isu PAS tidak dipimpin oleh ulama.
Mat Sabu akan jadi Presiden dalam suasana macam ini. Kepimpinan ulama dalam PAS diandaikan akan payah kalau Mat Sabu jadi Presiden. Akan timbul pula isu kepimpinan ulama itu tidak semestinya Presiden dan Timbalan Presidennya ulama, memadai konsep itu dengan adanya Majlis Syura.
Akan ada pula yang kata, ia mesti berpresidenkan ulama juga. Banyak pula masa berpolemik atas suasana seperti itu.
Kerana ada ahli PAS yang bersikap begitu, maka timbullah pandangan bahawa Mat Sabu patut dicabar oleh ulama juga. Tetapi kalau Mat Sabu berpendirian, sebagai Timbalan Presiden, dia tidak bercadang untuk memangku jawatan Presiden kiranya berlaku kekosongan, tapi sedia menyokong manamana tokoh ulama untuk menjadi pemangku Presiden dan dia kekal sebagai Timbalan.
Ingat, pandangan saya ini sekadar satu analisis, bukan untuk melobi perwakilan mengapa orang itu patut jadi Presiden dan mengapa yang lain tidak atau mengapa orang itu mesti diganti dan orang lain tidak. Biarlah kerja itu dibuat oleh media yang hen-dakkan PAS bergelombang.Subky Latif
Home » PEMILIHAN PAS!!! Mencari pimpinan masa depan PAS
No comments:
Post a Comment